Sunday, November 17, 2019

BSS 3013 SEJARAH KESUSASTERAAN MELAYU: Tokoh Karya Teragung: Abdullah Munsyi




NAMA PENSYARAH:
DR. HASRINA BINTI BAHARUM






NAMA AHLI KUMPULAN:
1. FATIN NAJIHAH BINTI HARUN (D20181084196)
2. FATIMAH BINTI ISMAIL (D20181084202)
3. MAISYARAH BINTI ABU SAMAH  (D20181084204)
4. KAMARUL AIZAT BIN ZAMANI (D20181082530)
5. NUR SYAMMIMI BINTI ABDUL HADI (D20181084197)










1.0 PENGENALAN



Ilmu kesusasteraan merupakan suatu bentuk ilmu yang menggambarkan keagungan tamadun dan keintelektualan sesebuah bangsa. Disiplin ilmu kesusasteraan menitik beratkan pengajian tentang pemikiran budaya, moral dan keperibadian sesebuah bangsa. Dalam era globalisasi yang melanda negara kita pada hari ini, ilmu kesusasteraan diyakini dapat memberikan keseimbangan yang sewajarnya bagi kesejahteraan hidup manusia. Ilmu kesusasteraan, di samping ajaran agama, merupakan suatu wadah kepada manusia untuk mengenali asal usul mereka, memahami hakikat kewujudan manusia, malah mendalami keesaan Tuhan. Perkara-perkara ini adalah suatu bentuk pengetahuan asas dalam sejarah kehidupan manusia dan perlu kekal sepanjang masa.


Di negara kita, kesusasteraan adalah salah satu wahana pembentuk sebuah kehidupan yang harmonis dan bahagia. Karya-karya yang berkualiti mampu berperanan sebagai penghubung antara pelbagai kelompok bangsa dan budaya melalui penonjolan nilai-nilai yang dikongsi bersama. Kesusasteraan juga boleh menjadi pemangkin kepada pembentukan modal insan yang kreatif dan kritis dalam berfikir dan bertindak, suatu kualiti peribadi yang sangat diperlukan dalam industri pembuatan di seluruh dunia dan juga dalam semua aspek kehidupan manusia. Membaca dan menganalisis perwatakan dan pengalaman hidup masyarakat dalam karya-karya unggul memberi pelbagai pengetahuan dan input berguna kepada setiap pembaca, yang akan dapat melahirkan insan-insan yang penuh dengan nilai, semangat dan sensitiviti dalam mengharungi arus globalisasi.

Kehidupan manusia tidak dapat dipisahkan daripada kesusasteraan, sama ada dalam amalan kehidupan harian ataupun dalam aktiviti-aktiviti yang lebih khusus seperti hubungan manusia dengan kehidupan kerohanian. Kesusasteraan melahirkan peribadi yang kaya dengan imbangan nilai, emosi dan roh kehidupan. Mengenali dan mencintai kesusasteraan akan memberi pulangan berharga dalam pelbagai bentuk kehidupan manusia: jasmani, rohaniah dan rabbaniah. Pembangunan negara yang mengabaikan nilai-nilai kemurniaan agama dan budaya bangsa akan menjurus kepada pembangunan yang tidak seimbang, menafikan nilai-nilai kemanusiaan, keharmonian dan kesejahteraan hidup yang telah diwarisi zaman-berzaman

                                                                                                                          

2.0 OBJEKTIF KAJIAN
·       Menyatakan latar belakang tokoh bagi meningkatkan pengetahuan tentang tokoh melayu.
·  Menjelaskan karya-karya penulis yang ditulis oleh tokoh sasterawan melayu bagi meluaskan lagi tentang karya-karya sastera melayu yang dihasilkan.
·       Menghuraikan sumbangan tokoh melalui pencapaian beliau dalam bidang penulisan.


3.0 LATAR BELAKANG


Abdullah Munsyi dilahirkan pada tahun Masihi 1796, bersamaan tahun Hijrah 1211, di Kampung Masjid atau juga dikenali sebagai Kampung Pali oleh masyarakat Keling. Beliau merupakan anak bongsu daripada empat adik-beradik seibu sebapa. Ketiga-tiga abangnya telah meninggal dunia sewaktu masih kecil. Beliau berasal daripada keturunan India dan Arab. Ayah beliau bernama Abdul Kadir adalah anak tunggal Muhammad Ibrahim dan Peri Achi. Moyang beliau merupakan seorang yang berketurunan Arab Yaman (Shellabear, 1947). Abdul Kadir telah mendapat pendidikan yang sempurna sejak kecil dan pernah memegang jawatan yang penting iaitu sebagai Syahbandar serta utusan Inggeris kepada negeri-negeri Melayu seperti Lingga, Riau, Pahang, Terengganu, Kelantan dan Palembang. Selain itu, Abdul Kadir juga pernah menjadi jurubahasa dan jurutulis.
            Semasa bapanya berniaga di luar negeri Melaka iaitu di Siak, Abdullah tinggal bersama neneknya Peri Achi yang bertugas sebagai seorang guru besar di Kampung Pali. Walaupun Abdullah dimanjakan oleh neneknya, beliau dibesarkan dalam situasi yang mementingkan pelajaran. Hal ini terbukti kerana ketika beliau berusia tujuh tahun, Abdullah telah diberikan permainan kalam resam dan papan loh. Oleh itu, beliau lebih cepat pandai menulis dan membaca berbanding dengan kanak-kanak lain.

            Sewaktu kedatangan Stamford Raffles dari Syarikat Hindia Timur ke Melaka, Abdullah telah diambil sebagai kerani, penterjemah dan jurutulis kepada pihak Inggeris. Tugas ini dilakukan bersama-sama dengan bapa saudaranya, Ismail Lebai dan Muhammad Latif. Sikap Abdullah yang dedikasi telah menyebabkan beliau disegani oleh orang-orang Inggeris. Abdullah telah dilantik menjadi guru bahasa Melayu kepada askar-askar sepoy Hindustan dan beberapa orang paderi seperti W.Milne dan C.H. Thomsen manakala beliau pula mempelajari bahasa Inggeris daripada mereka. Gelaran “munsyi” diperolehi daripada mereka yang pernah belajar bahasa Melayu dengannya. Beliau juga bertanggungjawab menterjemahkan sebahagian kitab Injil ke dalam bahasa Melayu.

        Abdullah telah mendirikan rumahtangga dengan seorang wanita berperanakan India sepertinya ketika berusia 34 tahun. Beliau telah dikurniakan seorang anak perempuan bernama Siti Lela. Abdullah telah meninggalkan keluarganya di Melaka untuk meneruskan pekerjaannya di Singapura. Selepas kematian anak perempuan dan isterinya, beliau membawa anak lelakinya ke Singapura.

        Abdullah meninggal dunia pada tahun 1854 ketika berusia 58 tahun semasa dalam perjalanan ke Mekah. Ketika itu, beliau ingin menunaikan fardhu haji pada 19 Januari 1854. Sepanjang perjalanan itu, Abdullah mencatat pengalamannya tetapi terhenti apabila beliau meninggal dunia semasa berada di Mekah. Hasil tulisan Abdullah itu tetap dicetak walaupun tidak dapat disiapkan dengan diberi tajuk “Kisah pelayaran Abdullah ke Jeddah”.


4.0 KARYA-KARYA TOKOH

Abdullah Munsyi telah menghasilkan karya pertamanya pada tahun 1830 bertajuk Syair Singapura Terbakar. Beliau bukan sekadar memperlihatkan perkembangan bahasa Melayu tersebut melalui karya kesusasteraan malahan juga ia menyedari betapa pentingnya buku nahu bahasa Melayu. Baginya, nahu sesebuah bahasa bukanlah dapat menyelesaikan seratus peratus masalah bahasa. Hal ini lebih nyata lagi apabila nahu sesuatu bahasa dikaji oleh orang asing yang bahasa ibundanya bukan bahasa Melayu dan tujuan membuat kajian tersebut bukanlah berdasarkan kajian ilmiah melainkan kerana kepentingan tertentu. Beliau melihat bahawa nahu bahasa Melayu yang ditulis oleh orang asing itu hanyalah merupakan pengubahsuaian nahu bahasa mereka sendiri yang cuba dipaksakan ke dalam bahasa Melayu.

Selain itu, terdapat banyak karya yang dihasilkan oleh Abdullah Munsyi. Kesemua karya yang beliau hasilkan memberi banyak makna kepada pembaca, pendengar dan sebagainya. Antara karya yang beliau hasilkan adalah Syair Singapura Terbakar (1847), Hikayat Kalilah Wa Daminah (Terjemahan Tamil 1835), Kitab Adat Segala Raja-raja Melayu Dalam Segala Negeri (1837), Dawai-Kulub (1838), Kisah Pelayaran Abdullah ke Kelantan (1838), Hikayat Abdullah (1849), Kisah Pelayaran Abdullah ke Jedah (1854), Kisah Pelayaran Abdullah bin Abdul Kadir Munsyi dari Singapura Sampai ke Kelantan (1838), Kisah Pelayaran Abdullah bin Abdul Kadir Munsyi dari Singapura Sampai ke Mekkah (1858-9), Syair Singapura Terbakar (1843), Syair Kampung Gelam Terbakar (1847), Malay Poem on New Year’s Day (1848), Ceretera Kapal Asap (1843), Ceretera Haji Sabar ‘Ali (1851), dan Bahwa Ini Hikayat Binatang (1846). Karya-karya yang dihasilkan oleh beliau mempunyai kandungan yang menarik. Pada masa yang sama, karya-karya tersebut menyampaikan mesej-mesej yang boleh menjadi teladan dalam kehidupan harian kita.
Seterusnya, antara karya-karya Abdullah Munsyi, terdapat satu karya dimana ia tergolong dalam Karya Agung Melayu iaitu Hikayat Abdullah karya Abdullah Munsyi. Hikayat Abdullah telah tersenarai dalam Karya Agung Melayu di mana karya tersebut amat menarik perhatian ramai tambahan pula karyawan Melayu yang menghasilkannya. Karya agung merupakan salah satu hasil peninggalan masyarakat Melayu dahulu. Hal ini dikatakan demikian kerana, karya agung merujuk hasil ciptaan seni yang mengandungi coretan dan pemikiran penulis yang kreatif dan mempunyai daya cipta yang tinggi. Selain itu, penulis karya terdiri daripada golongan masyarakat yang mahir dalam bidang penulisan. Penulis akan menggarap pelbagai hasil tulisan dan cerita-cerita dengan menyelitkan pengalaman hidup, unsur-unsur keindahan dan pelbagai gambaran seperti idealisme, nilai, pandangan hidup, adat budi, kesedaran moral, nilai keintelektualan dan sebagainya di dalam hasil karya yang dihasilkan. Hasil ciptaan hadir dalam bentuk hikayat- hikayat, kitab undang-undang, surat-surat rasmi, dan sebagainya. Selain itu, penghasilan karya agung Melayu telah mencerminkan keindahan bahasa dan garapan idea yang bernas oleh penulis terdahulu. Hal ini demikian kerana, menurut Andri Wicaksono (2014:3), sesebuah karya dicipta pengarang untuk dinikmati, dihayati, dan dimanfaatkan bagi khalayak (pembaca). Oleh sebab itu, garapan idea penulis sudah tentu menyelitkan sesuatu yang bernilai dan berguna kepada pembaca sama ada dalam bentuk nasihat, pandangan dan falsafah atau sindiran dan kritikan.

Oleh sebab itu, karya agung Melayu menjadi satu wadah kepada penulis untuk menyampaikan sesuatu kepada pembaca. Oleh itu, karya agung Melayu seperti Hikayat Hang Tuah, Hikayat Abdullah, Kitab Undang-undang, dan sebagainya mengandungi ciri-ciri tertentu yang telah menjadikan karya-karya tersebut bernilai dan diangkat menjadi karya terunggul dalam alam Melayu.

Berbalik pada Hikayat Abdullah, dalam Hikayat Abdullah terdapat 29 bab kesemuanya. Antara tajuk bagi bab-bab tersebut ialah ‘Hikayat Abdullah’, ‘Peri Abdullah Diperanakkan’, ‘Permulaan Belajar Mengaji’, ‘Darihal Kota Melaka’, ‘Darihal Raja Farquhar’, ‘Darihal Tuan Raffles’, ‘Darihal Lord Minto’,  ‘Darihal Tengku Panglima Besar’, ‘Anglo College’, ‘Darihal Kernel Farquhar Pergi Mencari Tempat Hendak Membuat Negeri’, ‘Darihal Negeri Singapura’, ‘Darihal Holanda Dalam Melaka’, ‘Darihal Tengku Long’, ‘Darihal Kernel Farquhar Kena Tikam’, ‘Darihal Tempat Belajar Tuan Raffles’, ‘Darihal Surat Raja Siam’, ‘Darihal Tuan Raffles Membuat Undang-Undang Negeri Singapura, Adanya’, ‘Darihal Tuan Raffles Hendak Pulang’, ‘Darihal Kernel Farquhar Hendak Pulang’, ‘Darihal Doctor Mengubati Penyakit Pasang-Pasangan’, ‘Darihal T’ien Ti Hui Dalam Negeri Singapura’, ‘Darihal Tuan Crawfurd Dengan Sultan Husin Syah Negeri Singapura’, ‘Darihal Chapel Atau Tempat Sembahyang Orang Putih Di Melaka’, ‘Ini Salasilah Asal Penghulu Naning’, ‘Darihal Sultan Husin Syah Singapura’, ‘Darihal Gereja Inggeris Di Singapura’, ‘Darihal Tuan Gabenor Butterworth’ dan berakhir dengan bab ‘Penutup’.

Karya teragung Abdullah Munsyi iaitu Hikayat Abdullah ini  memperjelaskan banyak mesej-mesej dan nilai murni yang ingin disampaikan. Secara keseluruhan hikayat ini ingin menceritakan mengenai kehidupan penulis dan penduduk negeri Melaka pada ketika itu. Selain itu juga Hikayat ini turut menceritakan mengenai peristiwa harian penulis, perhubungan dan pengalaman penulis iaitu Abdullah sendiri bersama-sama dengan orang-orang Inggeris iaitu pegawai Inggeris yang berkerja di dalam dan di luar kerajaan serta menceritakan mengenai penduduk tempatan dan pemerintah ketika itu. Karya Hikayat Abdullah turut menceritakan mengenai kritikan beliau terhadap orang Melayu, raja-raja Melayu dan undang-undang Timur yang sebelumnya tidak pernah disentuh oleh mana-mana penulis.

            Hikayat Abdullah ini menceritakan mengenai keturunanya yang bermula daripada moyangnya sendiri iaitu Syeikh Abdul Kadir yang berasal dari keturunan Arab, Yaman dan bangsa Uthmani. Abdullah menerima gelaran sebagai “munsyi” yang bermaksud guru sewaktu beliau berumur 11 tahun. Abdullah juga hebat dalam menguasai 4 bahasa antaranya ialah bahasa Melayu, bahasa Tamil, bahasa Inggeris dan bahasa Arab. Di dalam karyanya iaitu Hikayat Abdullah ini turut menceritakan kisah mengenai kehidupan Abdullah dari sewaktu beliau kecil dan sehingga beliau menjadi seorang yang berjaya. Didikan yang diperolehinya melalui neneknya turut diceritakan di dalam Hikayat Abdullah ini sewaktu, beliau diajar mengaji lagi.

            Hikayat Abdullah ini juga turut menceritakan mengenai pertistiwa penting dalam kehidupan Abdullah. Peristiwa seperti peristiwa yang berkaitan dengan perjanjian antara Kompeni Inggeris dengan Tengku Long untuk mendapatkan Singapura waktu ketika itu. Raja Farquhar yang telah berhasrat untuk membuka sebuah negeri, maka dengan itu termenterailah suatu perjanjian antara Raja Farquhar dengan Temenggung. Terdapat banyak cacatan daripada peristiwa penting di dalam karya agung Hikayat Abdullah ini, malah Hikayat Abdullah ini banyak memberikan nilai-nilai murni yang patut dicontohi. Hikayat Abdullah ini juga telah diselitkan beberapa unsur nasihat dan nilai yang baik yang boleh menjadi iktibar oleh pembaca. Antaranya ialah seperti menasihati ana-anak supaya tidak menderhaka kepada kedua ibu bapa dan sebagainya lagi. Hal ini kerana sikap dan jati diri telah mengambarkan bahawa Abdullah merupakan seorang yang sangat petuh kepada ibu bapanya, segala arahan ibu dan bapanya akan beliau laksanakan.

Hikayat Abdullah ini juga turut menerangkan mengenai pegangan hidup seseorang itu, seseorang individu perlulah mempunyai pegangan hidup supaya kita mempunyai arah tujuan yang benar. Pegangan hidup ini turut dijelaskan di dalam Hikayat Abdullah, pegangan hidup yang diterangkan beliau di dalam Hikayat ini serba sebanyaknya pegangan hidup daripada masyarakat Melayu pada ketika itu secara tidak lansung mahupun secara lansung. Hikayat Abdullah ini mengajar manusia agar untuk tidak bersikap membanggakan diri. Hal ini dapat dilihat pada bapa Abdullah. Hal ini dapat dilihat apabila sewaktu Abdullah ni dibesarkan ayahnya sendiri iaitu Syeikh Abdul Kadir tidak pernah sesekali memuji anaknya walalupun ramai yang memuji Abdullah kerana kepandaian yang deperolehinya. Hal ini kerana, bapanya tidak mahu anaknya itu bangga diri dan lupa apabila dipuji. Merujuk kepada HIkayat Abdullah ini, Abdullah Munsyi telah mempamerkan pandangan hidup yang diamalkan oleh masyarakat Melayu Melaka pada ketika itu yang terlalu berpegang teguh kepada sumpah dan ikrar yang telah dilakukan sehingga mereka takut untuk melanggar ditanbahkan lagi apabila sumpah dan ikrar yang dilakukan telah dikaitkan dengan Al-quran untuk menjadikan sumpah dan ikrar itu perlu dipatuhi dan tidak boleh sewenang-wenangnya dilanggar.

            Budaya ialah merupakan sesuatu kepercayaan yang dipercayai oleh sesuatu masyarakat yang telah diamalkan dalam kehidupan seharian mereka. Budaya yang wujud itu berlaku sejak zaman nenek moyang mereka, sesuatu budaya atau kepercayaan yang telah diamalkan adalah bergantung kepada seseorang invividu di dalam kelompok masyarakatnya untuk dikuti ataupun diamalkan dalam kehidupan. Menurut Hikayat Abdullah, masyarakat zaman Melayu Melaka pada ketiwa dahulu amat mempercayai kepada kehebatan pawang. Oleh kerana masyarkat waktu itu terlalu mempercayai kepada pawang hal ini telah menyebabkan Abdullah Munsyi menyelar tindakan dan kepercayaan masyarakat ketika itu dengan mengatakan bahawa mereka telah tertipu dan diperbodohkan oleh pawang yang ada ketika itu. zaman Melayu Melaka dahulu juga mereka amat percaya kepoada benda yang karut-marut seperti hantu, syaitan, polong dan sebagainya. Kebanyakan uyang mempercayai benda-benda karut seperti itu adalah orang Cina dan Melayu sejak turun temurun lagi. Selain itu juga mereka telah mengamalkan beberapa ilmu yang hebat antaranya adalah seperti limu gagah, penunduk, pengasih, kebal, peransang dan sebagainya.

            Secara keseluruhanya, karya teragung Abdullah Munsyi iaitu Hikayat Abdullah ini bukan sahaja menceritakan mengenai kehidupan Abdullah atau nilai-nilai murni dan pengajaran daripada masyarakat Malayu terdahulu, malah karya Hikayat Abdullah ini juga turut menjelaskan beberapa nilai terpenting seperti nilai ilmu yang telah wujud yang belum dipelajari secara mendalam. Hikayat Abdullah ini juga mengajar mengenai nilai kepengarangan, pelbagai teknik-teknik daripada Abdullah dalam penghasilan sesebuah karya turut diceritakan di dalam karyanya yang teragung ini. Seni bahasa turut diselitkan di dalam Hikayat Abdullah adalah bagi menghasikan sesbuah karya yang menarik daripada beliau.Kesimpulannya, Hikayat Abdullah merupakan sebuah karya agung yang unggul kerana karya ini mempunyai nilai estetik yang tinggi. Hikayat Abdullah adalah sebuah karya agung yang memperihalkan pengalaman dan kisah hidup sebenar Abdullah bin Abdul Kadir Munsyi sejak beliau dilahirkan sehingga meninggal dunia. Abdullah Munsyi juga telah mengkritik masyarakat Melayu pada ketika itu yakni yang menjurus kepada sikap pemerintah yang mementingkan diri dan mudah terpengaruh dengan penjajah dan sikap masyarakat Melayu yang tidak mahu untuk mengubah diri agar menjadi yang lebih baik.



5.0 PEMIKIRAN DALAM KARYA PENULIS


5.1 MENGANDUNGI NILAI-NILAI MURNI      
Abdullah Munsyi sering menyelitkan unsur-unsur nasihat dan nilai yang baik dalam pemikirannya yang boleh di ambil iktibar oleh pembaca. Sebagai contohnya, dalam hikayat ini menasihati anak-anak supaya jangan menderhaka kepada ibu bapa.
Contoh:
“Nasihat: Dengarkan olehmu, hai sekalian anak yang berbudi dan yang berbahagia, bahawa demikianlah besarnya kebajikan ibu bapa itu akan anaknya. Adakah patut kita derhaka akan dia dan tiada kita menurut perintahnya dan kita memecahkan hatinya dan kita mengeluarkan air matanya?…”                                                                                                                                                                                                (Hikayat Abdullah, 2007: 14)
Abdullah sangat patuh kepada ibu, bapa dan neneknya. Segala yang diperintahkan oleh mereka akan ditunaikan oleh Abdullah walaupun sebenarnya beliau tidak suka melakukan perkara yang diarahkan itu. Sebagai contoh:
“Inilah engkau buat main-main sehari-hari. Jikalau engkau bermain tanah atau pergi main panas, aku pukul”. Maka takutlah aku pergi ke mana-mana, melainkan duduklah aku menconteng-conteng papan itu dengan dakwat”.
(Hikayat Abdullah, 2007:17)

5.2 PEGANGAN HIDUP
Pegangan hidup merupakan komponen budaya hidup yang cenderung untuk mengalami perubahan seiring dengan perubahan hidup konsep masyarakat. Oleh itu, pegangan hidup yang diterangkan oleh Abdullah dapat dibuktikan dalam pemikiran beliau dalam hikayat beliau yang menunjukkan pegangan hidup yang diamalkan oleh masyarakat Melayu ketika zaman secara langsung mahupun tidak langsung. Antara pegangan hidup tersebut seperti berikut :

5.2.1 Sikap Tidak Membangga Diri
Pandangan hidup yang boleh dilihat di dalam hikayat Abdullah ini ialah sifat tidak mahu membangga diri. Bapa Abdullah iaitu Syeikh Abdul Kadir tidak pernah memuji Abdullah dalam apa jua yang dilakukan oleh beliau. Walaupun orang ramai memuji Abdullah, tetapi bapanya tidak pernah walaupun sekali memujinya. Hal ini kerana, bapanya tidak mahu, Abdullah lupa dan bangga diri apabila dipuji. Contohnya:
“Ada suatu kitab bahasa Melayu dengan bahasa Arab, terlalu bagus. Salinlah itu kitab.” Maka itu pun kusalinlah. Ada beberapa lamanya maka sudahlah kitab itu. Maka dilihat oleh orang lain akan tulisannya kitab itu, semua orang mengatalkan baik, tetapi bapaku sahaja mengeji-ngeji aku dengan tiada berkeputusan. Katanya, “Lihat rupa tulisanmu, seperti cakar ayam, membuang-buang kertas! Budak-budak kecil pun boleh menulis demikian! Semuanya disalahkannya, suatu pun tiada yang baik. Maka sekaranglah baharu kuketahui bahawa akal bapaku itu tiada ia mahu memuji kebajikanku atau tulisanku sebab ia takut menjadi besar hatiku, serta congkak oleh sebab kepandaian dan ilmu itu”.
(Hikayat Abdullah, 2007: 30)

5.2.2 Mempercayai Sumpah Dan Ikrar
Sumpah dan ikrar merupakan satu perjanjian yang dilakukan untuk sesuatu perkara. Lazimnya, terdapat lafaz-lafaz tertentu yang digunakan ketika melafazkan sumpah. Merujuk Hikayat Abdullah, Abdullah Munsyi telah mempamerkan pemikiran dan pandangan hidup masyarakat Melayu Melaka pada zaman tersebut yang berpegang teguh kepada sumpah dan ikrar yang dilakukan sehingga mereka takut untuk melanggar sumpah atau ikrar itu. Hal ini disulitkan lagi dengan mengangkat Al-Quran sebagai cagaran kepada sumpah mereka. Oleh sebab itu, sumpah yang telah dilafazkan tidak akan dilanggar sewenang-wenangnya. Berikut merupakan keratan petikan dalam hikayat tersebut yang melambangkan pandangan hidup seumpama itu:
“…‘kalau mahu betul-betul, semuanya orang aku mahu bersumpah , yang tiada boleh sekali-kali membukakan rahsia ini. Jika barang siapa tiada mahu turut, katalah’. Maka jawab sahaya, ‘yang mana Tengku suruhkan, itulah sahaya buat’. Maka dikeluarkan Qur’an, dipanggilnya sahaya dahulu disuruhnya bersumpah”
(Hikayat Abdullah, 2007:  93)

Berdasarkan keratan petikan di atas, Abdullah Munsyi telah mempamerkan satu peristiwa perjanjian sumpah yang dilakukan oleh Pangeran kepada Tengku Panglima Besar supaya dia tidak memecahkan rahsia kebohongan Tengku Panglima Besar kepada Tuan Raffles. Tengku Panglima Besar telah menggunakan Al-Quran sebagai cagaran sumpah tersebut sehingga Pangeran takut dan berasa bersalah untuk melanggar sumpah yang telah dibuat.

5.3 NILAI BUDAYA
Budaya mempunyai hubungan yang erat dengan masyarakat. Segala sesuatu yang terdapat dalam sesebuah masyarakat mempunyai hubung kait atau boleh ditentukan oleh kebudayaan yang dimiliki oleh masyarakat itu sendiri. Di samping itu, budaya juga adalah sesuatu yang diwarisi dan konsep ini disebut sebagai organik lampau. Oleh itu, pemikiran Abdullah Munsyi terhadap nilai budaya dapat disimpulkan sebagai keseluruhan cara hidup manusia termasuk hasil ciptaan dan pemikiran yang sesuai dengan kehendak rohani dan jasmani yang menjadi amalan untuk kesejahteraan hidup sesuatu kelompok masyarakat.

5.3.1 Mempercayai Kehebatan Pawang
Pawang atau dikenali sebagai bomoh atau dukun sering kali menjadi orang yang dirujuk apabila berlaku sesuatu yang berkaitan dengan alam ghaib atau tahyul. Selain itu, pawang juga dirujuk sebagai ahli perubatan tradisional yang sering menggunakan tumbuh-tumbuhan atau haiwan semasa proses berubat.
Merujuk Hikayat Abdullah, penulis telah mencerminkan nilai budaya yang diamalkan oleh masyarakat pada zaman tersebut. Hal ini kerana, Abdullah Munsyi ada menceritakan perihal kepercayaan masyarakat Melayu Melaka pada zaman tersebut yang begitu percaya kepada kehebatan pawang. Hal ini dapat dilihat pada keratan petikan seperti berikut:
“… dan lagi, kebanyakan orang-orang Melayu dan Cina dan lainnya percaya, katanya, “Pawang itu terlalu pandai hikmah gajah.” Dan lagi, banyak-banyak doa dibacakannya sampai gajah di hutan semuanya takut akan ia, istimewa manusia. Maka sebab itu maka serba bangsa pun ada meminta ubat-ubat dan hikmat-hikmat dan tangkal-tangkal kepadanya.”
( Hikayat Abdullah, 2007: 75)
Berdasarkan keratan petikan di atas, Abdullah Munsyi telah menggarapkan jalan cerita yang mempamerkan nilai budaya masyarakat pada zaman itu yang mempercayai kehebatan pawang sehingga mereka meletakkan kepercayaan penuh terhadap pawang tersebut. Namun begitu, Abdullah Munsyi telah menyelar tindakan dan kepercayaan masyarakat tersebut dengan mengatakan mereka telah ditipu dan diperbodohkan oleh pawang tersebut.

5.3.2 Menyayangi Pemimpin
Hikayat Abdullah mempunyai banyak cerita yang menerapkan unsur nilai budaya, iaitu menyayangi pemimpin. Nilai ini penting dalam kehidupan masyarakat Melayu dahulu yang mengamalkannya antara anggota masyarakat tanpa mengira bangsa, umur mahupun agama. Abdullah telah menghuraikan nilai kasih sayang tersebut dalam diri penduduk Singapura secara langsung terhadap pemimpin mereka. Beliau menyatakan bahawa penduduk Singapura tanpa mengira bangsa sangat menghormati Tuan Farguhar (Tuan Raffles) kerana nilai budi bahasanya yang tinggi. Penduduk Singapura berasa sangat sedih untuk melepaskan Tuan Raffles pulang ke Eropah. Abdullah menceritakan perasaan penduduk semasa Tuan Farguhar ingin belayar pulang ke Eropah:

“Lalu naiklah ia ke kapal. Maka segala perahu itu pun berhimpunlah di kapal. maka orang yang menghantar itu pun masing-masing naiklah memberi tabik…mereka itu dan mengajar mereka itu dengan berbagi-bagai perkataan. maka adalah kelakuannya kepada segala orang-orang itu seperti anak dengan bapa. Demikianlah sehingga menangislah masing-masing...”.
(Hikayat Abdullah, 2007:212)


5.4 NILAI ILMU
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010: 1081), nilai merupakan darjat, kualiti, mutu, taraf dan sifat ketinggian yang merangkumi pemikiran, agama dan kemasyarakatan. Nilai juga merupakan segala perbuatan, perlakuan atau tindakan yang bermutu, bertaraf atau elok yang harus dijadikan contoh dan teladan (Nik Hasan Basri Nik Ab. Kadir, 2007: 148). Mohd Rashid Md Idris pula (2011:12) mentakrifkan nilai dalam bidang sains sosial kepada tiga konteks utama iaitu sebagai sifat (attribute), ‘al-qimah’ (harga yang ditetapkan dan diletakkan pada sesuatu) dan aksiologi yang mempunyai hubung kait dengan falsafah nilai. Oleh itu, terdapat beberapa pemikiran yang diketengahkan oleh Abdullah Munsyi dalam aspek nilai ilmu dalam karya beliau.

5.4.1 Mempunyai Ilmu Perubatan
Abdullah telah menghidapi penyakit pasang-pasangan yang seakan-akan penyakit bisul di kelangkang beliau sehingga menyebabkan beliau tidak dapat berjalan dengan selesa. Penyakit itu telah menular dan menjadi serius apabila hampir keseluruhan penduduk mula dijangkiti penyakit tersebut. Setelah Abdullah memaklumkan hal tersebut kepada Tuan Morgan, beliau diminta untuk menemui seorang doktor (tiada dinyatakan namanya). Doktor tersebut telah merawat penyakit pasang-pasangan itu dengan cara menikam kawasan bengkak pada kelangkang Abdullah dan mengeluarkan air bisanya. Proses perubatan tersebut dapat dilihat berdasarkan berikut :


“Maka kulihat diletakkannya pisau itu dengan perlahan, rasanya seperti digigit semut. Kemudian diputarnya sekurup pisau itu. Maka mata pisau itu pun tenggelamlah di dalam. Maka terpancarlah airnya keluar. Maka oleh doktor itu diberinya satu pasu akan menadahkan air itu. Maka adalah lamanya air itu memancar sekira-kiranya suku jam…maka diambilnya kapas dicelupkannya ubat dibubuhnya. Maka penyakit itu pun pulanglah seperti sedia kala.”
(Hikayat Abdullah ,  2007:217-218)



5.4.2  Masyarakat Yang Berkemahiran Dalam Penulisan Karya
Teknik serta kemahiran menulis sesuatu karya sama ada dalam bentuk hikayat, surat, kitab, syair, dan sebagainya bukan dimiliki oleh semua orang. Hal ini kerana, kemahiran ini memerlukan bakat yang meliputi kreativiti serta pengalaman yang luas. Hal ini penting bagi mencipta satu karya yang baik dan indah. Abdullah Munsyi telah mempamerkan satu nilai ilmu yang dimiliki oleh masyarakat Melayu Melaka pada zaman tersebut, iaitu kemahiran menulis karya-karya seperti hikayat, syair, kita, surat-surat rasmi, dan sebagainya di dalam karya-karya beliau seperti dalam Hikayat Abdullah. Berikut merupakan keratan petikan yang menggambarkan nilai ilmu yang dimiliki oleh masyarakat pada zaman tersebut:

“Maka adapun perkara yang ditulis itu berbagai-bagai-bagai: ada yang menyalin hikayat, ada yang menulis surat kiriman, ada yang menulis darihal jalan-jalan bahasa Melayu dan syair dan sebagainya. Maka adalah masing-masing dengan pekerjaannya”.
( Hikayat Abdullah, 2007: 63)
      
 Berdasarkan petikan di atas, Abdullah Munsyi telah memaparkan nilai ilmu yang dimiliki oleh golongan masyarakat pada masa itu. Kebanyakan masyarakat mahir dalam penulisan karya-karya klasik ini dan secara tidak langsung telah menggambarkan keupayaan mereka mengenal huruf-huruf.


6.0 SUMBANGAN TOKOH


     Abdullah Munsyi mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang penulisan. Beliau pernah bekerja sebagai guru bahasa, wartawan, sejarahwan, penterjemah dan sebagainya (Ismail Yusoff, 2008). Pengkaji sejarah berpendapat bahawa pemisahan antara Sastera Melayu Lama dengan Sastera Melayu Baru berlaku selepas tahun 1800, pada abad ke-19 iaitu setelah munculnya karya-karya Abdullah Munsyi yang membawa unsur-unsur baru dalam Sastera Melayu. Kejayaan Abdullah dalam bidang penulisan banyak didorong oleh faktor persekitaran seperti kehidupan keluarga, keadaan sosio-politik selain bakat semulajadi yang dimilikinya.

     Bersesuaian dengan gelaran yang diberikan kepada Abdullah Munsyi sebagai ‘Bapa Kesusasteraan Melayu Moden’, beliau telah menghasilkan beberapa karya unggul yang menjadi tatapan sehingga kini. Karya- karya yang dihasilkan sedikit moden berbanding dengan hikayat -hikayat yang ditulis oleh penulis lain sebelumnya. Hal ini juga menunjukkan beliau telah membawa pembaharuan dalam penghasilan karya daripada karya klasik kepada karya moden. Abdullah Munsyi bukan sahaja memperlihatkan keunggulan Bahasa Melayu melalui karya kesusasteraan, malahan memberikan kesedaran tetantang betapa pentingnya nahu Bahasa Melayu. Bagi beliau, sekiranya nahu Bahasa Melayu ditulis oleh orang asing maka nahu Bahasa Melayu yang ditulis itu hanyalah merupakan pengubahsuaian nahu bahasa mereka sendiri yang cuba dipaksakan terhadap Bahasa Melayu.

     Antara karya yang dihasilkan Abdullah Munsyi ialah Syair Singapura Terbakar (1830), Dawaiy- Kulub (1838), Kisah Pelayaran Abdullah ke Kelantan (1938), Kitab Adat Segala Raja-Raja Melayu dalam Segala Negeri (1838), Hikayat Abdullah bin Abdul Kadir (1849) dan Kisah Pelayaran Abdullah ke Juddah (1854). Beliau juga menghasilkan karya terjemahan Hikayat Pancatanderan dan menyunting Sejarah Melayu. Karya-karya beliau ada yang telah diterjemahkan ke dalam bahasa asing.

     Karya-karya yang telah dihasilkan oleh beliau membawa unsur-unsur pembaharuan dalam lapangan sastera Melayu. Dua buah karya agungnya iaitu Hikayat Abdullah dan Kisah Pelayaran Abdullah ke Kelantan merupakan cerminan kepada situasi yang berlaku dalam masyarakat. Abdullah melaporkan perkara yang benar-benar terjadi dan tidak memasukkan unsur khayalan. Hikayat Abdullah yang berbentuk autobiografi memuatkan pengalaman hidupnya bersama orang-orang Inggeris dan mengandungi kritikan terhadap orang Melayu, raja-raja Melayu dan undang-undang Timur yang sebelumnya tidak pernah disentuh oleh golongan penulis.

     Kisah Pelayaran Abdullah ke Kelantan pula dapat dianggap sebagai dokumentasi sejarah yang ditulis berdasarkan pemerhatian semasa. Beliau telah mengupas aspek politik, ekonomi, sosial dan kebudayaan masyarakat Melayu di Pahang, Kelantan dan Terengganu. Aspek yang mendapat perhatian di mata beliau ialah kemunduran orang-orang Melayu, soal pelacuran di Kelantan, kezaliman raja dan sebagainya.

     Beliau berpendapat kemunduran orang-orang Melayu berpunca daripada sikap raja dan golongan bangsawan yang mengambil kesempatan terhadap ketaatan rakyat kepada mereka. Di Kelantan, rakyat berfungsi untuk memberi khidmat kepada raja dan kerabatnya sahaja sehingga tiada masa untuk bekerja. Malah kadang-kadang harta yang dimiliki oleh mereka turut dirampas oleh raja. Di Terengganu, beliau mengkritik sistem perhambaan dan adat atau pantang larang yang dikenakan agar tidak menyamai golongan pemerintah. Namun, beliau berasa hairan kerana tiada pula adat yang melarang rakyatnya hidup dalam kedaifan dan kehinaan.

     Selain itu, beliau juga lantang mengkritik rakyat di Pahang yang malas bekerja sehingga keluasan kawasan yang dimiliki tidak dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya. Beliau juga berasa hairan kerana tiada guru yang dapat memahami maksud ayat yang diujarkan oleh mereka. Sikap orang Melayu yang ganjil pada pandangannya juga turut dikritik. Beliau mengecam orang Melayu yang malas berusaha, suka bersabung ayam, meletakkan tanggungjawab mencari nafkah di bahu perempuan dan suka memakan makanan yang tidak berkhasiat seperti pekasam, tempoyak, ikan asin, jering, petai dan lain-lain.

  
7.0 KESIMPULAN
            Kesimpulannya, terdapat sedikit penjelasan latar belakang tokoh, karya-karya tokoh, pemikiran penulis dan sumbangan pencapaian tokoh dalam bidang sastera ini. Jadi, kita dapat lihat bahawa betapa besarnya pengorbanan tokoh dalam menghasilkan sesuatu karya. Dalam hal ini, Hikayat Abdullah memperlihatkan kepengarangan Abdullah yang mampu mencetuskan pemikiran, nilai dan pegangan atau pandangan hidup bangsa Melayu pada suatu ketika dahulu. Sebagai contoh, Hikayat Abdullah adalah sebuah karya agung merupakan satu karya agung yang memperihalkan pengalaman dan kisah hidup sebenar Abdulah bin Abdul Kadir Munsyi sejak beliau dilahirkan sehingga meninggal dunia. Kritikan yang dilakukan oleh Abdullah Munysi memperlihatkan beliau mempunyai idealisme dan pendiriannya terhadap mesej yang hendak disampaikan. Oleh itu, kita boleh jadikan kisah-kisah dan perjalanan beliau sebagai teladan hidup kita. Selain itu, harapan kami adalah budaya mencintai bahasa mahupun sastera ini berterusan dan tidak ketinggalan dek zaman supaya kita dapat melahirkan modal insan kelas pertama.



8.0 RUJUKAN
Hassan Ahmad (2007). Hikayat Abdullah. Kuala Lumpur: Yayasan Karyawan.
Abdullah Abdul Kadir. (1974). Hikayat Abdullah, Jilid II. Kuala Lumpur: Pustaka Antara.
A. Rashid. (2008). Kenang- Kenangan Abdullah Munsyi. Selangor: IBS Buku Sdn. Bhd.
Siti Aisah Murad. (1996). Abdullah Munsyi dan Masyarakat Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Seri Lanang Jaya Hj. Rohani et al. (2016). Karya Agung Melayu. Tanjung Malim: Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Abdullah (Munshi) (Karya lengkap Abdullah Abdul Kadir Munsyi: Kisah pelayaran Abdullah ke Kelantan. Kisah pelayaran Abdullah ke Mekah, Kepustakaan Populer Gramedia.


No comments:

Post a Comment